fbpx
Gambar hiasan. Foto AFP

PM lancar Sumud Darat, hantar 30 kontena bantuan ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebanyak 30 kontena digerakkan dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai tanda solidariti Malaysia buat penduduk di bumi Palestin.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dalam kenyataan memaklumkan, majlis pelepasan rasmi dikenali Sumud Darat telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Katanya, inisiatif berskala nasional ini diterajui Mapim bersama Koalisi Sumud Nusantara, dengan sokongan penuh Kerajaan Malaysia.

Misi ini membawa muatan 30 kontena berjumlah 374 tan merangkumi 14 kontena kotak makanan, lapan kontena tepung dan lapan kontena kit kebersihan yang disasarkan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 rakyat Palestin di Gaza.

Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia tetap teguh mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat walaupun menghadapi penutupan ruang udara antarabangsa dan sempadan Rafah susulan ketegangan konflik di Timur Tengah.

“Sumud Darat menandakan komitmen Malaysia yang tidak lentur walau sedikit pun dalam mempertahankan hak, maruah, dan kelangsungan hidup rakyat Palestin.

“Kita menolak segala bentuk penindasan, menentang kezaliman tanpa mengira pelakunya, dan menyokong usaha ke arah keamanan yang berteraskan keadilan serta undang-undang antarabangsa,” katanya.

Menurut Mapim, bagi memastikan bantuan sampai dengan selamat, misi ini dijalankan secara berfasa bermula 3 Mac dengan penghantaran pasukan awal misi ke Kaherah, Mesir.

“Pertengahan Mac, majlis pelepasan kontena di Gudang Mapim Al Khair, Kaherah, disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kontena akan digerakkan ke sempadan Rafah, diikuti sidang media khas sebagai penanda komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby yang juga Chef De Mission misi ini berkata, penghantaran 30 kontena bukan sekadar operasi logistik, tetapi sebahagian daripada agenda Global Sumud Flotilla 2.0.

Beliau menekankan bahawa misi ini adalah kesinambungan usaha Malaysia dan Mapim, yang sebelum ini berjaya menghantar 100 kontena bantuan serta 40,000 tin daging ke Gaza antara 2024 hingga 2025.

Katanya, Mapim dan Kerajaan Malaysia juga memberi penekanan bahawa walaupun ruang udara ditutup dan ketegangan antara Iran dan Israel semakin memuncak, misi ini tetap diteruskan.

“Perdana Menteri Malaysia mengecam tindakan Israel menutup Rafah sebagai satu jenayah kemanusiaan, dan sedang berhubung rapat dengan pemimpin negara Arab, terutamanya Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi untuk memastikan bantuan Malaysia tidak tersadai dan diuruskan secara berhemah di Gudang Mapim di Kaherah.

“Sebagai barisan hadapan dalam Misi Kesiapsiagaan dan Desakan Global ini, kami tidak akan menunggu pintu Rafah dibuka baru bersedia. Bantuan Malaysia akan dihantar dan ditempatkan di sempadan terdekat Mesir,” katanya.

Beliau juga dengan yakin berkata, sebaik sahaja ruang kemanusiaan dibuka walau sesaat, bantuan Malaysia akan menjadi yang pertama melepasi pintu Rafah seperti kejayaan kita tahun lepas dengan 100 kontena bantuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN