TEL AVIV – Agensi kecemasan Israel menyatakan bahawa tembakan peluru berpandu Iran telah membunuh seorang wanita di Tel Aviv, kematian pertama yang disahkan sejak serangan bermula awal semalam.
“Paramedik mengesahkan kematian seorang wanita berusia dalam lingkuan 40-an yang mengalami kecederaan parah,” kata perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom.
Ia berlaku selepas peluru berpandu Iran mengenai pusat bandar Tel Aviv, demikian menurut seorang pegawai kanan dalam video yang dikongsi oleh tentera.
Ia merupakan kematian pertama yang disahkan sejak Iran mula melancarkan peluru berpandu ke Israel sebagai tindak balas kepada gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) dan Rejim Zionis terhadap Republik Islam itu awal semalam.
Imej dari Tel Aviv menunjukkan anggota bomba dan pasukan polis berada di lokasi serangan, di jalan yang diapit oleh bangunan kediaman, dengan bahagian hadapannya musnah akibat letupan.
Anggota bomba memadamkan api daripada kebakaran yang berlaku di kawasan sekitarnya, sementara paramedik memindahkan mangsa yang cedera.
Perkhidmatan perubatan kecemasan Israel berkata, pasukannya telah membawa 20 orang yang cedera ke hospital.
Beberapa jam kemudian, tentera Israel berkata, gelombang peluru berpandu lain mencetuskan siren serangan udara di beberapa kawasan.
Menurut polis, sebahagian daripada peluru berpandu atau pemintas itu mengenai kawasan Baitulmuqaddis, tanpa sebarang laporan segera tentang sebarang korban.
Sepanjang petang, wartawan AFP melaporkan letupan kuat di sekitar Tel Aviv, Baitulmuqaddis dan Tebing Barat yang diduduki, ketika sistem pertahanan udara Israel menembak jatuh bertubi-tubi peluru berpandu.
Tentera berkata pada petang semalam bahawa beberapa titik impak dilaporkan di seluruh Israel. – AFP














