KUALA LUMPUR – Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta masyarakat antarabangsa digesa mengambil tindakan tegas dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Azizuddin Ahmad berkata, tindakan agresif Israel dan AS itu merupakan pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Iran serta pelanggaran serius prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.
Menurutnya, serangan berkenaan bukan sahaja mengancam nyawa orang awam yang tidak bersalah, malah menggugat kestabilan dan keselamatan rantau tersebut.
“Ia jelas menunjukkan sikap biadab dan keangkuhan Israel dan AS yang tidak pernah menghormati norma antarabangsa, perjanjian damai atau resolusi dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azizuddin turut menyifatkan tindakan provokatif itu sebagai satu bentuk keganasan negara yang didalangi kuasa-kuasa besar tertentu sehingga membiarkan kekejaman berkenaan berterusan.
“Sikap hipokrit masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB yang terus mendiamkan diri atau menggunakan kuasa veto untuk melindungi Israel, hanya menggalakkan rejim itu melakukan lebih banyak jenayah.
“Wadah menyeru semua pihak membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Iran serta mendesak Majlis Keselamatan PBB agar segera campur tangan, mengadakan sesi kecemasan dan mengambil tindakan tegas terhadap Israel,” katanya.
Beliau menambah, Wadah turut menuntut supaya Israel dikenakan hukuman dan sekatan setimpal atas jenayah dilakukan, selain menggesa masyarakat antarabangsa bersatu menyuarakan solidariti kepada rakyat serta kerajaan Iran dalam mempertahankan kedaulatan negara mereka.
“AS perlu dihalang daripada melakukan keganasan dan provokasi perang. Seluruh masyarakat yang cintakan keamanan tidak seharusnya terus menjadi pemerhati pasif.
“Tanggungjawab kita bersama adalah membela keadilan dan menentang kezaliman di mana sahaja ia berlaku. Hentikan keganasan Israel dan AS. Hentikan pembunuhan. Hentikan sebarang bentuk pencerobohan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














