TEL AVIV – Angka kematian akibat serangan peluru berpandu balistik Iran menyasarkan bandar Beit Shemesh, tengah Israel meningkat kepada enam orang, lapor saluran berita Al-Jazeera.
Peluru berpandu Iran itu membedil kawasan perumahan di bandar tersebut, demikian menurut akhbar Times of Israel.
Perkhidmatan ambulans Israel, Magen David Adom sebelum ini melaporkan kira-kira 20 orang cedera dalam serangan itu.
Tentera Israel berkata dalam satu kenyataan di platform Telegram bahawa pasukan mencari dan menyelamat, pasukan perubatan dan sebuah helikopter untuk memindahkan mangsa, sedang beroperasi di tempat kejadian.
Sementara itu, Kementerian Luar Arab Saudi memanggil duta Iran hari ini, sehari selepas kerajaan itu menuduh Tehran menyasarkan wilayahnya dengan serangan.
“Kementerian Luar Arab Saudi memanggil duta Iran sebagai tindak balas terhadap serangan maut Iran yang menyasarkan wilayah kami dan beberapa negara saudara kami,” kata kementerian itu di platform X. – AGENSI














