KUALA LUMPUR – Meskipun sudah dua tahun pemergian isteri tercinta, pelakon Harun Hashim mendedahkan banyak masa dihabiskan dengan menziarahi pusara arwah.
Mengakui rindu terhadap teman hidupnya, Harun, 70, memilih untuk menetap berhampiran tanah perkuburan bagi memudahkan urusan ziarah.
“Saya sudah dua tahun berseorangan di rumah. Setiap hari saya ke kubur isteri saya, itu sebab saya duduk dekat dengan tanah perkuburan isteri saya.
“Saya sayang dia. Orang nak kata apa pun, katalah.
“Saya memang cari rumah yang dekat dengan kubur supaya senang saya pergi ziarah tapi kalau saya ‘shooting’ balik malam, tiadalah saya pergi. Takkan mahu ke kubur pada sebelah malam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin di Royale Chulan Kuala Lumpur.
Pelakon telefilem Pa’e itu turut mengenang kenangan bersama arwah isteri, Allahyarham Sakinah Ganjali ang banyak membantunya dalam kehidupan seharian.
“Ke mana-mana pergi pun kami berdua. Saya bawa kereta, dia yang tengok Waze (aplikasi) sebab saya pelupa. Jadi dia memang kena ada. Baju-baju memang saya letak dalam kereta, tak angkat begitu juga dengan bantal dia,” kongsinya.
Isteri Harun menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akibat kanser payudara tahap empat pada 21 November 2024.
Bercerita mengenai tahap kesihatannya, Harun mengakui kini berdepan dengan masalah daya ingatan yang semakin merosot serta keadaan fizikal yang tidak lagi secergas dahulu. Namun, perkara itu tidak menghalangnya untuk terus berpuasa dan bekerja jika diberikan peluang.
“Alhamdulillah, walaupun jalan bergoyang-goyang, saya masih puasa sebab saya tiada sakit perut atau gastrik. Saya hanya ada darah tinggi dan kolestrol juga tinggi, malah lutut saya juga agak lemah.
“Tapi saya tetap boleh berjalan walau goyang-goyang. Kalau ada ‘shooting’, orang datang ambil dan hantar balik sebab jalan pun saya sudah lupa.
“Dialog pun orang bagi dan saya ikut saja apa yang pembantu pengarah suruh. Saya sebenarnya sudah banyak lupa tapi siapa yang sanggup ajarkan saya dialog, saya buat,” katanya.
Harun adalah antara penggiat seni yang turut menerima sumbangan pada majlis berkenaan. Artis lain yang turut menerima sumbangan ialah Cico, Ayai, Elyana, Asheed, Jalil Hamid, Ann Ways, Dr. Sam dan Shamsul Ghau Ghau.
Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin menganjurkan Iftar Jiwa Prihatin untuk menghargai jasa serta menyantuni golongan penggiat seni dan pengamal media yang sedang berhadapan dengan ujian hidup seperti masalah kesihatan. – KOSMO! ONLINE














