PETALING JAYA – Ribuan jemaah umrah rakyat Malaysia terkandas di Jeddah dan Madinah selepas penerbangan pulang mereka ditangguhkan susulan serangan besar-besaran Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Ketegangan itu menyebabkan penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan di Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu selain peningkatan kawalan keselamatan di beberapa kawasan.
Susulan itu, jemaah daripada pelbagai agensi kini ditempatkan di hotel-hotel sementara menunggu jadual penerbangan baharu.
Mereka termasuk 287 jemaah kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) yang masih terkandas di Arab Saudi.
Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, jemaah yang sepatutnya pulang ke tanah air dengan Malaysia Airlines semalam tidak dapat berlepas.
“Mereka akan ditempatkan di hotel Andalusia di Mekah sehingga menerima arahan lanjut daripada syarikat penerbangan.
“Terdapat juga jemaah menaiki penerbangan lain seperti Qatar Airways dan Air Arabia, namun mereka juga tidak dapat berlepas ekoran situasi terkini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, pihak Andalusia akan menanggung kos penginapan dan makan minum jemaah yang terkandas di Arab Saudi.
“Keadaan semasa terkawal dan semua jemaah berada dalam keadaan tenang.
“Kita telah beri arahan kepada petugas Andalusia di Mekah dan Madinah serta mutawwif di sana dan jemaah terus menjalani ibadah di Tanah Suci seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Ida Riswana berkata, seramai 85 jemaah yang dijadualkan berlepas dari Malaysia ke Jeddah semalam menerusi penerbangan MH150 juga terpaksa ditangguhkan.
Katanya, setakat ini penangguhan melibatkan Malaysia Airlines serta beberapa syarikat penerbangan lain yang melalui kawasan Teluk.
“Antara penerbangan terjejas ialah Qatar Airways, Air Arabia, Etihad dan Emirates.
“Kita belum pasti sampai bila penangguhan ini akan berlarutan,” katanya.
Seorang rakyat Malaysia memaklumkan dia kini terkandas di Madinah selepas penerbangannya pulang dibatalkan.
Menurut Megat Arjuna, dia merupakan antara jemaah umrah yang menguruskan perjalanan sendiri (DIY) dan terjejas apabila jadual penerbangan asal tidak dapat diteruskan.
“Kami antara jemaah umrah DIY, iaitu empat orang yang terkandas di bumi Madinah untuk pulang ke tanah air,” katanya dalam kumpulan Facebook Forum Umrah DIY.
Di Sepang, beberapa jemaah umrah yang sepatutnya berlepas ke Arab Saudi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA) semalam terpaksa akur dengan arahan penangguhan penerbangan.
Pesara guru, Azimah Abdul Karim, 47, berkata, dia bersama suami, Ahmad fadzil Ibrahim, 50, dan dua anak, Afif Firas, 16, Nur Aafiyaa Fatihah, 12, sepatutnya berlepas bersama 11 yang lain pada pukul 5.35 petang semalam dengan pesawat Saudi Airlines.
Azimah berkata, dia berharap dapat menunaikan umrah dan berpuasa di Tanah Suci tahun ini, namun pada masa sama bimbang dengan konflik di Timur Tengah.
“Kalau tak dapat pergi saya reda, kalau dapat pergi, Alhamdulillah,” katanya.
Jurucakap agensi pelancongan itu pula berkata, kumpulan jemaah melibatkan 11 orang itu dijadualkan berada di Tanah Suci sehingga 23 Ramadan.
“Ini adalah kumpulan pertama yang kami kendalikan bagi umrah bulan puasa dan kumpulan kedua dijadual berlepas minggu hadapan untuk menyambut Aidilfitri di Tanah Suci,” katanya.
Malaysia Aviation Group (MAG) pula mengambil keputusan menggantung sementara semua penerbangan ke dan dari Doha, Qatar selain Jeddah dan Madinah hingga 4 Mac ini.
MAG dalam kenyataan berkata, semua penerbangan lain termasuk ke dan dari London serta Paris Charles de Gaulle Airport kekal beroperasi menggunakan laluan alternatif yang berada jauh dari zon konflik.
“Penerbangan ke destinasi yang terjejas akan terus digantung sementara,” katanya
Antara penerbangan terjejas termasuk MH150 yang dijadualkan berlepas ke Jeddah dan MH151 yang berlepas dari Jeddah ke Kuala Lumpur.
Turut terlibat ialah MH160 yang dijadualkan berlepas ke Doha, Qatar pada 4 Mac serta MH158 yang dijadualkan ke Madinah hari ini.














