PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan konflik semasa di Iran yang menjejaskan ruang udara di beberapa kawasan Timur Tengah, sekali gus menyebabkan semua penerbangan pergi dan balik dari rantau itu digantung buat sementara waktu.
Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata pihaknya sedang menilai situasi tersebut sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat berhubung urusan bakal jemaah haji Malaysia bagi Musim Haji 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, tindakan seterusnya akan ditentukan berdasarkan nasihat yang diterima daripada rakan syarikat penerbangan serta pihak berkuasa terlibat.
“Berkenaan dengan tanggungjawab TH kepada bakal jemaah negara, tindakan TH seterusnya akan berdasarkan nasihat yang diterima daripada rakan syarikat penerbangan, pihak berkuasa Saudi dan Wisma Putra,” katanya.
Menurut beliau, TH akan membuat pemakluman lanjut pada masa yang sesuai selepas meneliti segala aspek berkaitan, termasuk faktor keselamatan dan logistik perjalanan.
Sehubungan itu, TH menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan bakal jemaah haji negara kekal sebagai keutamaan dalam setiap keputusan yang bakal diambil. – KOSMO! ONLINE














