SAKURA, Jepun – Persiapan pasukan Aston Martin menjelang perlumbaan pembuka tirai Formula Satu (F1) 2026 di Australia minggu depan terganggu apabila pembekal enjin mereka, Honda, mendedahkan masalah unit kuasa serius yang disifatkan sebagai berbahaya.
Harapan tinggi terhadap kerjasama baharu itu bermula dengan langkah kiri apabila jentera AMR26 bukan sahaja lewat diturunkan pada ujian pramusim di Bahrain, malah berdepan kegagalan teknikal sehingga mencatat jarak pemanduan paling rendah.
Situasi bertambah buruk pada hari terakhir ujian apabila Aston Martin terpaksa menamatkan sesi ujian lebih awal selepas kehabisan bateri simpanan, sekali gus membongkar isu besar pada unit kuasa baharu yang dibangunkan di Sakura.
Ketua Jabatan Perlumbaan Empat Roda HRC, Ikuo Takeishi mengesahkan gegaran luar biasa daripada enjin V6 menjadi punca utama kerosakan sistem bateri yang menyebabkan jentera dipandu Fernando Alonso terkandas di litar.
“Getaran tidak normal yang dikesan semasa ujian menyebabkan kerosakan pada sistem bateri dan itu sebab utama jentera terhenti.
“Kami hentikan jentera kerana merasakan ia tidak selamat untuk diteruskan. Ia bukan soal kemalangan akan berlaku serta-merta, tetapi risikonya terlalu tinggi,” katanya.
Apa yang lebih merisaukan, Honda mengakui sehingga kini punca sebenar gegaran tersebut masih belum dikenal pasti sepenuhnya kerana ia dipercayai berpunca daripada gabungan beberapa komponen termasuk casis dan transmisi.
Menurut Takeishi, pasukan kejuruteraan Honda kini menjalankan siasatan menyeluruh melibatkan unit kuasa dan struktur monokok secara serentak bagi mencari penyelesaian paling berkesan.
Namun, Honda tidak dapat memberi jaminan masalah itu mampu diselesaikan sepenuhnya sebelum Grand Prix Australia di Melbourne pada 8 Mac ini. – AGENSI














