GEORGE TOWN – Kegembiraan lapan sahabat menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka akhirnya bertukar tragedi apabila homestay yang didiami terbakar dalam kejadian di Solok Sungai Emas, Batu Feringghi di sini, pagi tadi.
Kesemua mangsa terdiri wanita berusia antara 31 dan 32 tahun itu dilaporkan mengalami sesak nafas dan cedera ringan manakala salah seorang daripada mereka patah kaki kanan dipercayai ketika mahu menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran berlaku pada pukul 4.46 pagi tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Teluk Bahang.
“Insiden kebakaran berlaku di bahagian ruang tamu sebuah rumah tiga tingkat yang dijadikan homestay dengan anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 20 peratus.
“Rumah tersebut disewa lapan wanita dan mereka telah berjaya menyelamatkan diri semasa kejadian sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi. Akibat kebakaran berlaku, seorang mangsa dilaporkan patah kaki kanan manakala selebihnya mengalami sesak nafas dan luka ringan semasa menyelamatkan diri,” katanya di sini, tadi.
Dalam pada itu, katanya lagi, kebakaran telah berjaya dikawal padam pada pukul 5.20 pagi tadi dan padam sepenuhnya 15 minit kemudian.
“Kesemua mangsa yang terlibat diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan telahpun dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
“Komander Operasi lapor operasi tamat pada pukul 6.26 pagi tadi dan menyerahkan lokasi kejadian kepada Pasukan Forensik Bomba (FIO) bagi siasatan lanjut. -KOSMO! ONLINE














