PETALING JAYA – Sebanyak 1,357 kes direkodkan sepanjang pelaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 yang berkuat kuasa selama sembilan hari bermula 13 hingga 21 Februari lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, pihaknya berjaya melaksanakan pemeriksaan sebanyak 10,672 dengan melibatkan kompaun RM157,000 dan sitaan bernilai RM40,361.57.
Beliau berkata, KPDN turut mempergiat pemantauan secara intensif di bawah SHMMP Tahun Baharu Cina bagi memastikan kestabilan harga serta mengelak manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Langkah ini merupakan komitment berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan rakyat dan menangani kos sara hidup sepanjang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
“Beberapa langkah utama telah diambil termasuk pemantauan dan pemeriksaan fizikal di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah untuk menjalankan pemeriksaan harian di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
“Selain itu, KPDN turut melaksanakan penugasaran melibatkan lebih 2,400 pegawai penguatkuasa di seluruh negara melalui inisiatif Ops Pantau 2025 bagi memberi keyakinan kepada pengguna serta bertindak sebagai peringatan tegas kepada peniaga agar mematuhi peraturan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Azman berkata, KPDN turut melaksanakan penguatkuasaan label harga merah jambu bagi barangan harga terkawal untuk memudahkan pengguna mengenal pasti barangan di bawah skim tersebut.
“KPDN turut mengambil tindakan tegas termasuk kompaun dan sitaan terhadap peniaga yang menjual melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga atau melakukan manipulasi yang tidak munasabah.
“Selain itu, KPDN juga bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memastikan bekalan barangan keperluan seperti ikan dan sayur-sayuran sentiasa mencukupi di pasaran,” katanya. – KOSMO!ONLINE














