SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu pelaku kes curi tabung masjid dikenakan tindakan tegas dan setimpal berlandaskan undang-undang kerana mencemarkan kesucian rumah Allah dan mengkhianati amanah umat Islam.
Baginda bertitah, kejadian kecurian itu dipandang serius tanpa mengira sesiapa pun dalang di sebaliknya.
“Wang yang dikumpulkan menerusi tabung masjid adalah amanah umat Islam, hasil sumbangan ikhlas jemaah untuk kebajikan, pengimarahan rumah Allah dan membantu golongan yang memerlukan,” titah baginda menerusi kenyataan Istana Alam Shah hari ini.
Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan kepada polis Selangor atas tindakan pantas menahan pelaku kes kecurian tabung Masjid Seksyen 7, di sini.
“Sukacita kerana pelaku terlibat ditangkap hasil kerjasama erat antara polis, ahli jawatankuasa masjid dan jemaah setempat yang bertanggungjawab. Semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat ini menjadi benteng utama dalam memelihara kesucian institusi masjid,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














