fbpx
Fadhlina menyerahkan tablet untuk meningkatkan motivasi pembelajaran kepada pelajar di SMKA Maahad Muar kelmarin.

TEKAD jadi jambatan hubungkan KPM dengan masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Program Tekad Reformasi Pendidikan (TEKAD) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi wadah utamanya dalam menyampaikan maklumat berhubung Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan hala tuju pendidikan negara kepada rakyat.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, TEKAD bukan sekadar program penerangan, sebaliknya satu gerakan bersepadu bagi memastikan aspirasi dan sasaran RPM difahami serta didokong bersama oleh semua pihak.

Menurut beliau, pendekatan itu dilaksanakan menerusi pelbagai bentuk pengisian termasuk sesi libat urus, dialog bersama ibu bapa dan guru, selain penganjuran karnival pendidikan di seluruh negeri.

“TEKAD ini kita jayakan bersama ibu bapa, guru, komuniti dan anak-anak. Tujuannya jelas iaitu untuk memastikan mesej Rancangan Pendidikan Malaysia sampai kepada masyarakat dan difahami secara menyeluruh.

“Kita mahu rakyat tahu apakah sasaran wajib capai dalam tempoh 10 tahun, apakah manfaatnya kepada murid dan guru serta bagaimana mereka boleh memainkan peranan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jaulah Ramadan Menteri Pendidikan 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar di sini kelmarin.

Fadhlina berinteraksi dengan guru-guru, ibu bapa dan pelajar pada program TEKAD di SMKA Maahad, Muar kelmarin. – Raja Jaafar Ali

Fadhlina berkata, pelaksanaan RPM tidak boleh dilihat secara terpisah atau tertumpu kepada isu tertentu sahaja, sebaliknya perlu difahami sebagai pelan besar yang menyentuh keseluruhan ekosistem pendidikan negara.

Tambahnya, sesi libat urus yang dijalankan sejak 2023 membo­lehkan kementerian mengangkat suara dan harapan ibu bapa ke dalam kerangka pelan tersebut.

“Sebahagian besar teras strategik dan aspirasi dalam RPM datang daripada input ibu bapa sendiri. Sebab itu proses penerangan me­lalui TEKAD ini tidak boleh terhenti.

“Kita akan terus turun padang, termasuk melalui program seperti Jaulah Ramadan, bagi memastikan masyarakat benar-benar faham hala tuju pendidikan negara,” ujarnya.

Para pelajar SMKA dapat beramah mesra dengan Fadhlina sambil dapat berbuka puasa bersama.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina memaklumkan pendaftaran awal bagi inisiatif pendidikan membabitkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun menunjukkan perkembangan positif dengan hampir 50,000 pendaftaran direkodkan setakat ini.

Katanya, Johor antara negeri mencatatkan pendaftaran tertinggi, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan keyakinan ibu bapa terhadap sistem yang bakal dilaksanakan.

“Kita sasarkan sehingga 700,000 pendaftaran jika semua memilih untuk menyertai. Tempoh pendaftaran masih dibuka sehingga 31 Mac dan selepas itu kita masih bersedia membantu ibu bapa yang ingin mendaftar,”jelasnya.

Beliau menambah, kementerian telah membuat persiapan rapi termasuk pengiklanan serta penyusunan penempatan mengikut ne­geri dan sekolah bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar tahun hadapan.

“Yang penting sekarang, kita terus bekerja keras untuk me­ningkatkan mutu pendidikan negara dan mengangkat martabat Malaysia melalui pendidikan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI