PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kerap menekan brek kereta sehingga menyusahkan pemandu lain mendapat kecaman ramai.
Melalui satu rakaman kamera papan pemuka yang dikongsi di laman Thread, kereta tersebut dilihat dipandu perlahan di lorong kiri namun beberapa kali menekan brek kenderaannya.
“Manusia yang suka pandu kereta pakai dua kaki. Menyusahkan orang,” tulis kapsyen pada hantaran video tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna turut berkongsi sering berdepan pemandu serupa yang dikatakan kerap menekan brek.
“Paling benci jenis yang pandu pakai dua kaki begini, dia tak tahu ke akan menyusahkan orang lain. Kereta auto bawa sebelah kaki saja, bukan bawa manual nak kena tekan ‘clutch’,” kata Fridey.
“Oh baru faham. Baru-baru ini dalam perjalanan ke tempat kerja, kereta depan sepanjang jalan lampu brek menyala. Serba salah nak laju ke nak perlahan bila ikut dari belakang,” kata Mieyla.
“Janganlah duduk belakang orang begini, bahaya dan sakit jiwa dibuatnya. Selalunya mereka ini jenis rabun tak nampak jalan, asyik nak membrek saja,” kata Perantau Hepi.
“Main telefon pun ya jenis begini suka brek, kalau potong mesti sebelah tangan saja pegang stereng, sebelah lagi pegang telefon dan mata ke bawah,” kata Cikgu Najwa. – KOSMO! ONLINE














