PETALING JAYA– Ruang udara di beberapa negara Timur Tengah dilaporkan hampir kosong daripada penerbangan komersial malam ini susulan ketegangan memuncak membabitkan Iran dan Israel.
Perkongsian di media sosial memaparkan paparan radar penerbangan menunjukkan laluan udara di ruang Iran, Iraq dan Syria dilihat lengang tanpa kehadiran pesawat komersial seperti kebiasaan.
Menurut hantaran tersebut, tiada kapal terbang komersial dilihat melalui ruang udara berkenaan, manakala Syria dilaporkan turut menutup ruang udaranya buat sementara waktu.
Tinjauan pada peta radar penerbangan global menunjukkan kebanyakan pesawat antarabangsa kini mengubah laluan masing-masing dengan mengelak kawasan konflik. Sebahagian penerbangan dilihat menggunakan laluan alternatif melalui Turki, Asia Tengah dan Semenanjung Arab bagi memastikan keselamatan operasi.
Situasi itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial yang mengikuti perkembangan konflik terbaharu di rantau berkenaan.
Sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi terperinci daripada pihak berkuasa penerbangan antarabangsa mengenai tempoh penutupan ruang udara tersebut.
Perkembangan lanjut dijangka bergantung kepada keadaan keselamatan semasa di Timur Tengah.-KOSMO! ONLINE.














