PETALING JAYA – Beberapa rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi dan Qatar berkongsi pengalaman mendebarkan apabila mendakwa terdengar bunyi letupan serta dentuman kuat susulan ketegangan memuncak antara Iran dan Israel.
Menerusi hantaran tular di platform Threads, seorang wanita dipercayai berada di Riyadh mendakwa cuba kekal tenang walaupun mendengar bunyi letupan kuat berhampiran kawasan kompaun kediamannya.
“Saya cuba kekal tenang even dengar kuat bunyi explosions dari compound dekat Riyadh ni. Kawan-kawan lain kat Saudi dengar tak?” tulisnya.
Di ruangan komen, beberapa individu lain turut memberi maklum balas berbeza. Ada yang mendakwa tidak mendengar bunyi letupan, namun menyatakan terdapat pesawat berlegar-legar di ruang udara.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi pengguna dipercayai rakyat Malaysia di Qatar memohon doa selepas mendakwa berulang kali terdengar dentuman misil Iran jatuh di negara itu.
“Doakan kami yang di Qatar ya teman-teman. Berulang kali dentuman misil Iran jatuh di Qatar,” tulisnya dalam hantaran yang meraih puluhan ribu tontonan.
Malah, seorang pengguna lain mendakwa melihat objek menyerupai misil di ruang udara selepas terdengar beberapa kali bunyi dentuman.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Arab Saudi atau Qatar berhubung dakwaan serangan tersebut.
Perkongsian berkenaan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai ahli keluarga dan kenalan di Timur Tengah.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta mengelakkan penyebaran berita tidak sahih yang boleh mencetuskan panik. – KOSMO! ONLINE.














