RIO DE JANEIRO – Bekas pengendali Manchester United, Ruben Amorim berpeluang kembali ke dunia pengurusan bola sepak lebih awal daripada jangkaan apabila dikaitkan dengan tugas mengejut bersama Vasco da Gama.
Jurulatih dari Portugal itu dikatakan berada dalam radar kelab gergasi Brazil berkenaan bagi menggantikan Fernando Diniz yang dipecat susulan prestasi hambar pada awal musim.
Menurut laporan, pihak pengurusan Vasco percaya Amorim memiliki profil sesuai untuk memulihkan pasukan yang kini bergelut di tangga bawahan liga selain menjadi ruang untuk beliau bangkit membina semula reputasinya..
“Kelab sebesar Vasco memerlukan figura berwibawa untuk mengembalikan kestabilan. Amorim dilihat memiliki pengalaman dan pendekatan taktikal yang sesuai,” menurut laporan tersebut.
Sepanjang 14 bulan di Old Trafford, Amorim mengendalikan 63 perlawanan dengan rekod 25 kemenangan, 15 seri dan 23 kekalahan sebelum kontraknya ditamatkan lebih awal susulan prestasi tidak konsisten.
Bagaimanapun, reputasinya sebelum itu masih dihormati selepas kejayaan cemerlang bersama Sporting Lisbon, termasuk menamatkan kemarau kejuaraan liga domestik kelab tersebut.
“Beliau masih jurulatih berkualiti tinggi. Projek baharu di Amerika Selatan boleh menjadi titik perubahan penting dalam kerjayanya,” menurut sumber.
Jika pelantikan itu menjadi kenyataan, Amorim bakal menyertai jejak jurulatih Portugal lain yang mencipta kejayaan di Brazil, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya selepas episod mencabar di England. – AGENSI














