fbpx
MARINI

Marini dikait spekulasi sertai Yamaha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BURIRAM – Pelumba Honda, Luca Marini menepis spekulasi yang mengaitkannya dengan perpindahan menyertai Yamaha bagi musim 2027.

Namanya hangat diperkatakan selepas laporan daripada wartawan Sepanyol, Mela Chercoles mendakwa pelumba Itali itu berpotensi menyertai Yamaha ketika pasaran pelumba 2027 bakal berlaku perubahan besar.

Menjelang aksi pembukaan di Thailand hujung minggu ini, landskap MotoGP dijangka berubah dengan Ducati dilaporkan bakal menggandingkan Marc Marquez bersama Pedro Acosta, manakala Francesco Bagnaia dikatakan menuju Aprilia bersama Marco Bezzecchi.

Fabio Quartararo pula dijangka menyertai Honda pada 2027 dengan Jorge Martin didakwa hampir mencapai persetujuan untuk menggantikannya di Yamaha.

“Saya tidak tahu apa-apa, tetapi memang benar apabila melibatkan pembangunan motosikal, saya antara yang terbaik,” kata Marini.

Sejak menyertai Honda daripada VR46 Ducati pada 2024, Marini menjadi watak penting dalam Honda selepas membantu mempercepatkan proses pembangunan jentera.

Honda dikatakan memasang impian tinggi menjelang 2027 dan mula memburu pelumba bertaraf bintang menyebabkan kedudukan Marini dalam pasukan itu dilihat tidak lagi kebal.

Honda Racing Corporation (HRC) juga mempunyai ruang terhad di grid dengan dua pelumba LCR, Johann Zarco dan Diogo Moreira terikat kontrak hingga 2027.

Pengalaman Zarco serta kehadiran pasukan ujian Honda dibarisi Aleix Espargaro dan Takaaki Nakagami mengurangkan keperluan Honda untuk mengekalkan Marini sebagai pelumba pembangunan.

Walaupun konsisten musim lalu, Marini dilihat masih ketinggalan dari segi kelajuan berbanding rakan sepasukan, Joan Mir yang meraih dua podium di penghujung MotoGP musim lalu.

Marini dianggap calon ideal sebagai pelumba kedua Yamaha selepas melalui pengalaman terbaik membangunkan jentera bersama Honda sejak dua musim lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN