DUBAI – Satu klip video tular menunjukkan pelancong asing di Dubai melarikan diri apabila peluru berpandu Iran meletup ketika dipintas di ruang udara, di tengah-tengah kebimbangan Asia Barat kini di ambang perang skala penuh, lapor MailOnline hari ini.
Klip video pendek berdurasi 11 saat menunjukkan detik misil Iran ditembak jatuh di ruang udara bandar raya Emiriah Arab Bersatu (UAE) tersebut.
Orang ramai bersantai di tepi kolam renang apabila dua kepulan awan (letupan) kelihatan membesar di langit biru di atas mereka.
Dalam video meraih lebih setengah juta tontonan itu, seorang wanita kedengaran berkata: “Ya Tuhanku sambil menghalakan kamera ke arah kolam renang dan kembali ke arah dua kepulan asap di langit
“Mereka (Iran) mengebomnya,” demikian menurut hantaran tersebut.
Kejadian ini itu berlaku susulan tindakan Iran melancarkan serangan balas di seluruh Asia Barat termasuk Abu Dhabi, Dubai, Riyadh, Manama, Amman, dan Israel, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyasarkan pejabat Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei petang tadi.
Tehran juga telah menyerang pusat perkhidmatan Armada Kelima AS di Bahrain.
Dalam pada itu, seorang pelancong di Dubai, Will Bailey berkongsi pengalaman di akaun TikTok miliknya bahawa dia ‘terjaga oleh apa yang kelihatan seperti Perang Dunia Ketiga’ pada hari pertamanya di bandar raya tersebut.
“Peluru berpandu baru sahaja meletup di Abu Dhabi, iaitu kira-kira satu jam perjalanan dari Dubai,” kata warga Britain itu.
“Saya baru sahaja bercadang untuk pergi ke kelab tepi pantai dan menikmati petang Sabtu yang tenang,” tambahnya. – AFP














