KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki memecut kenderaan bagi mengelak pemeriksaan polis berakhir dengan pelanggaran beberapa kenderaan awam dalam kejadian di Jalan Cheras berhampiran Sunway Velocity Mall, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.32 tengah hari.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika anggota polis menjalankan ronda cegah jenayah sebelum terserempak dengan sebuah Honda Civic dalam keadaan mencurigakan di parkir tepi Jalan Nicholas.
“Anggota polis telah menghampiri kenderaan tersebut untuk tujuan pemeriksaan, namun secara tiba-tiba pemandunya memecut laju ke arah persimpangan lampu isyarat Jalan Cheras.
“Kenderaan itu kemudian melanggar beberapa buah kenderaan awam yang sedang berhenti di lampu isyarat sebelum dua lelaki yang berada di dalamnya keluar dan melarikan diri dengan meninggalkan kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan tidak menemui sebarang barangan salah.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, manakala siasatan trafik dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














