BUKIT KAYU HITAM – Polis menahan dua lagi lelaki tempatan di sekitar kawasan ini susulan insiden tembakan yang menyasarkan tembakan ke arah komander sempadan Bukit Kayu Hitam pada Rabu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan suspek berusia 51 dan 58 tahun itu adalah hasil siasatan polis termasuk pemprofilan dilakukan.
Katanya, pemprofilan dibuat berdasarkan gambaran diberikan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.
“Apabila kita mulakan siasatan awal, pihak polis memaklumkan kepada saya bahawa dua nama ini ditimbulkan oleh komander yang merasakan untuk beberapa tempoh kebelakangan ini dia terasa diekori.
“Jadi dia (komander) gambarkanlah personaliti (suspek), sebagai contoh rambut ikal mayang, jadi kita profilkan dan kita kenal pasti,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan rasmi ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada insiden tembakan tersebut melibatkan pihak dari negara luar, siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dilakukan memandangkan kejadian berlaku di sempadan selain salah seorang suspek adalah warga Thailand.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mengarahkan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain untuk meningkatkan kawalan ke atas pegawainya yang disyaki menjadi sasaran mana-mana pihak.
“Perinciannya saya serahkan kepada beliau apa bentuk langkah kawalan yang saya minta ditingkatkan itu boleh dilakukan kerana sudah ada piawaian tertentu ditetapkan,” tambahnya.
Kosmo! semalam melaporkan insiden tembakan terhadap seorang komander sempadan di sini Rabu lalu membawa kepada penahanan tujuh individu, dengan dua daripada mereka dikesan mempunyai residu tembakan senjata api pada tangan dan pipi.
Mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun.
Kata beliau, kesemua suspek termasuk pasangan suami isteri itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada hari kejadian bermula pukul 10.30 pagi hingga 6 petang. – KOSMO! ONLINE














