MANILA – Seorang lelaki di Filipina ditahan kerana membakar rumah sendiri selepas mendapati dia ditinggalkan oleh isterinya untuk bersama dengan lelaki lain, lapor portal berita Must Share News.
Kejadian berlaku di sebuah kawasan perumahan di Intramuros, Manila pada Khamis lalu.
Seorang penghulu berkata, lelaki berkenaan baru dibebaskan dengan ikat jamin pada hari sama sebelum kejadian.
Pejabat Pengurangan Risiko Bencana dan Pengurusan Manila (DRRMO) dimaklumkan mengenai kebakaran itu sekitar pukul 4.48 petang (waktu tempatan).
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.30 malam (waktu tempatan), kira-kira tujuh jam selepas dicetuskan oleh suspek.
Kebakaran besar itu turut memusnahkan sekurang-kurangnya 300 buah rumah dan menjejaskan 600 keluarga di kawasan tersebut.
Dua warga emas dikejarkan ke hospital, namun mereka disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Salah seorang mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terlampau panik.
Pihak berkuasa berusaha mencari seorang individu terperangkap di bawah runtuhan dan menyelaras bantuan untuk penduduk kehilangan tempat tinggal yang kebanyakannya adalah pelajar, pekerja serta peniaga kecil.
Beberapa penduduk mendakwa mereka melihat suspek memulakan kebakaran dengan menyimbah petrol di rumah selepas mengetahui isterinya bersama dengan lelaki lain.
Suspek telah diberkas untuk disoal siasat. – AGENSI














