fbpx
AHMAD Zahid menyantuni Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam melalui panggilan video semalam.

Hilang lima ahli keluarga, dua beradik dijemput beraya bersama TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Dua beradik yatim piatu akibat tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, di sini menerima undangan istimewa daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya.

Pelawaan itu dizahirkan ketika beliau menyantuni Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, dan Ahmad Balia Murqam, 15, melalui panggilan video yang disiarkan di akaun TikTok miliknya semalam.

Tambah Ahmad Zahid, hasrat tersebut turut disampaikan isterinya, Datin Seri Hamidah yang kini berada di Tanah Suci.

“Isteri saya kirim salam dan lepas balik dari umrah nanti, insya Allah kami akan melawat kamu berdua.

“Kami tawar supaya untuk hari raya nanti, duduk dengan kami kalau sudilah. Untuk persiapan raya, ada sedikit yang akan kami bantu,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Dalam perbualan itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberi jaminan bahawa masa depan pendidikan dua beradik berkenaan akan dipelihara sepenuhnya di bawah tanggungjawab Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Kata beliau, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, telah diarahkan untuk menghubungi mereka bagi urusan pengambilan sebagai anak angkat agensi tersebut.

“Mara berada di bawah kementerian saya, jadi kita akan pantau dari semasa ke semasa supaya kebajikan serta pendidikan mereka terjamin.

“Kita bukan sahaja bantu dari segi perbelanjaan bulanan, malah akan menguruskan laluan pendidikan hingga ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut menitipkan pesanan agar Ruby Adalia Balqis yang kini menuntut di kolej matrikulasi terus tabah serta memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, bagi memastikan kebajikan remaja itu sentiasa terpelihara.

“Kita minta supaya Ruby dan Ahmad Balia reda dengan ujian ini, bersabar dan terus kuat. Insya-Allah ramai yang bersimpati dan akan membantu.

“Dalam masa sama, Ruby perlu fokus kepada pelajaran demi masa depan,” katanya.

Tragedi kebakaran yang berlaku pada Khamis lalu telah meragut nyawa bapa mereka, Mohd. Alawi Muhammad, 56, ibu, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga adik perempuan, iaitu Ruby Adira Batrieisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.

Dua beradik yang terselamat itu difahamkan berada di asrama ketika kejadian berlaku.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI