fbpx
HAKIM Danish mahu memberikan terbaik pada perlumbaan sebenar esok.

Hakim Danish tempah petak ke-15 di GP Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan semangat juang tinggi Grand Prix (GP) Thailand apabila berjaya menempah petak ke-15 dalam aksi kelayakan kelas Moto3 di Litar Antarabangsa Chang, sebentar tadi.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu pada mulanya bergelut untuk mendapatkan catatan terbaik pada sesi kelayakan pertama (Q1), namun pelumba berusia 18 tahun itu berjaya bangkit memecut laju untuk merekodkan catatan terpantas 1 minit 41.476 saat (s) di pusingan terakhir.

Catatan di penghujung saingan itu membolehkan pelumba berusia 18 tahun berkenaan menyambar slot ke sesi kelayakan kedua (Q2) bersama empat pelumba terpantas lain.

Momentum cemerlang itu bagaimanapun sukar diteruskan pada Q2 susulan perubahan strategi pelumba lain yang memperlahankan jentera bagi mengelak taktik ‘mencucuk angin’, sekali gus menyukarkan Hakim Danish untuk memperbaiki catatan masa terbaiknya.

Situasi berkenaan menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu sekadar mencatat 1:41.761s, meletakkannya di barisan kelima bagi perlumbaan sebenar nanti esok.

PASUKAN AEON Credit-MT Helmets-MSi bekerja keras menyediakan jentera terbaik buat Hakim Danish.

Hakim Danish mengakui sesi Q1 semenangnya cukup sengit namun peningkatan keserasian bersama jentera membolehkannya mencatat masa lebih baik.

“Dalam kelayakan pertama tadi memang agak sengit. Ramai pelumba laju dan saya cuba ‘push’ sehabis mungkin. Saya rasa lebih baik dengan tetapan jentera dan keyakinan diri juga semakin meningkat.

“Di Q2 pula, saingan bertambah sengit dan laju. Saya cuba ikut mereka, tetapi ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki lagi seperti dari segi tunggangan dan juga tetapan jentera. Esok saya yakin akan berusaha dengan lebih baik dan beri saingan terbaik,” katanya.

Biarpun hanya menempah grid ke-15, kejayaan menembusi Q2 pada penampilan sulung musim penuh Moto3 ini wajar diberi pujian dan menjadi petanda positif buat Hakim Danish untuk berjuang bersama kelompok hadapan menjelang perlumbaan esok.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Ryusei Yamanaka yang membuat penampilan ketujuh dalam kelas Moto3, akan memulakan perlumbaan dari petak ketujuh selepas mencatat masa 1:41.198s.

Petak utama menjadi milik pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa yang mempamerkan tunggangan luar biasa dengan catatan 1:40.088s. Catatan Almansa itu turut melakar sejarah baharu apabila memecahkan rekod sepusingan terpantas litar (All Time Lap Record) yang sebelum ini dipegang Jose Antonio Rueda (1:40.350s) pada tahun 2025.

Melengkapkan barisan hadapan adalah Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) di tempat kedua, manakala Adrian Fernandez (Leopard Racing) ketiga. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN