MAHKAMAH Timbang Tara Sukan (CAS) membuatkan peminat bola sepak tanah air terus menanti rayuan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seawal minggu depan.
Jurucakap CAS, Vanessa Tracey memaklumkan menerusi emel kepada media tempatan bahawa panel badan penghakiman itu akan mengambil masa untuk bermesyuarat selepas prosiding berakhir secara rasmi, kelmarin.
Bagaimanapun, Vanessa tidak dapat memberikan satu jangka masa tepat bila keputusan berkenaan akan dikeluarkan, tetapi memaklumkan mungkin dikeluarkan minggu depan.
“Susulan sesi pendengaran hari ini, panel akan mengambil masa untuk bermesyuarat dan membuat pertimbangan. Saya tidak dapat memberikan tempoh masa yang tepat bagi keputusan itu, namun keputusan (tanpa alasan penghakiman) dijangka akan dikeluarkan minggu depan.
“Memandangkan kes ini berprofil tinggi, satu kenyataan media akan dikeluarkan. Selepas keputusan diumumkan, satu penjelasan penuh akan disediakan dan dikeluarkan kepada pihak terbabit.
“Sekiranya pihak terbabit tidak memohon kerahsiaan, keputusan itu akan tersedia di laman sesawang CAS,” katanya pada emel tersebut.
Sebagai rekod, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menjatuhkan hukuman kepada FAM dan tujuh pemain warisan negara susulan isu pemalsuan dokumen pada September lepas.
Selepas dikenakan hukuman yang berat, FAM mengambil alternatif dengan menggunakan talian hayat terakhir untuk mengheret FIFA ke CAS.
Bagaimanapun, keputusan FAM bukan untuk mencabar FIFA sebaliknya mahu mengurangkan hukuman yang dikenakan oleh badan induk antarabangsa itu terhadap tujuh pemain warisan negara.













