BATU PAHAT – Tular di media sosial satu rakaman memaparkan seorang bayi menangis sambil dipangku oleh pengguna jalan raya selepas dipercayai tercampak dari sebuah kenderaan yang terbakar.
Lokasi kejadian difahamkan berlaku di hadapan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, pagi tadi.
Menerusi video yang berdurasi 53 saat itu, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 2.40 pagi dan kelihatan orang ramai berlari di lokasi kejadian dalam keadaan sebuah kenderaan masih terbakar.
Dapat dilihat bayi berkenaan yang dipercayai tercampak beberapa meter dari kenderaan tersebut sedang dipangku pengguna jalan raya dalam keadaan menangis.
Bersebelahan bayi berkenaan terdapat seorang mangsa terbaring tidak sedarkan diri tetapi tidak dapat dipastikan lelaki atau wanita.
Kenderaan yang dipercayai terlibat dengan kemalangan itu juga berada dalam keadaan remuk dan rosak teruk terutama pada bahagian hadapan. Usaha mendapatkan maklumat kejadian daripada pihak polis masih belum mendapat jawapan.- KOSMO! ONLINE














