KUALA LUMPUR – Petronas merekodkan pendapatan RM266.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, 17 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh purata harga direalisasikan yang lebih rendah, jumlah jualan berkurangan serta impak pertukaran asing dan penjualan Engen Group.
Keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM45.4 bilion, susut 18 peratus selari dengan penyusutan pendapatan dalam persekitaran pasaran global yang semakin mencabar.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turun 10 peratus kepada RM103.0 bilion, manakala aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) pula berjumlah RM85.2 bilion, 17 peratus lebih rendah.
Daripada sudut pelaburan, Petronas memperuntukkan RM41.6 bilion bagi perbelanjaan modal, terutamanya untuk aktiviti pembangunan dan pengeluaran sektor huluan.
Sementara itu, jumlah aset mengukuh kepada RM775 bilion, manakala ekuiti pemegang saham menurun kepada RM448.3 bilion, mencerminkan dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham dan pergerakan pertukaran asing.

Petronas turut membayar dividen RM32 bilion kepada kerajaan, serta cukai dan duti (termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan) berjumlah RM24.3 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik menyifatkan prestasi Petronas tahun lalu sebagai berdaya tahan, dan ia dicapai dengan latar belakang ketidaktentuan berpanjangan dalam persekitaran operasi mencabar.
Jelasnya, harga minyak mentah Brent susut 14 peratus daripada AS$81/tong kepada AS$69 tahun lalu, manakala ringgit turut mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat.
“Dalam tahun yang dilanda ketidakpastian pasaran dan kos yang tinggi, Petronas memberi tumpuan kepada memperkukuh daya tahan portfolio kami melalui perkongsian strategik, penggredan portfolio yang tinggi dan usaha-usaha lain yang meningkatkan nilai.
“Semua usaha kami bertujuan untuk memastikan bahawa institusi ini akan kekal berada di kedudukan strategik untuk terus memberikan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan kami dalam jangka masa panjang.
“Melangkah ke hadapan, halangan geopolitik dalam industri dijangka berterusan dan Petronas akan menggandakan langkah untuk memperkukuh portfolio serta kekuatan kewangan, membuka jalan untuk institusi ini terus memberikan tenaga dan penyelesaian dengan selamat, andal dan bertanggungjawab.
“Lembaga Pengarah Petronas juga telah meluluskan jumlah dividen RM20 bilion kepada kerajaan untuk tahun ini,” katanya dalam majlis pengumuman keputusan kewangan Petronas Group hari ini. -KOSMO! ONLINE













