SEBERANG PERAI – Tiga individu termasuk dua warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua remaja warga Myanmar bagi tujuan eksploitasi di sebuah pusat hiburan, 8 Februari lalu.
Warga tempatan, Ang Kok Yang, 48; wanita warga Vietnam, Thi Thanh Thuy, 42; dan lelaki warga Myanmar, Nay Lin Htet, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara bersama dalam Bahasa Melayu dan Mandarin di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memperdagangkan dua remaja warga Myanmar yang berusia 17 dan 13 tahun bagi eksploitasi penyalahgunaan kuasa di Gravity Kitchen & Bar di Jalan Perniagaan Seri Juru, Bukit Mertajam, pada 12.30 tengah malam, 8 Februari lalu.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang daripada lima tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat jika disabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadhirah Abdul Rahim dan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Nadhirah tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi serahan dokumen. Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 April sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE














