fbpx
Gambar hiasan.

Tiada kes pegawai polis terima rasuah ketika rondaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan membabitkan pegawainya menerima rasuah seperti yang tular menerusi satu rakaman video di aplikasi TikTok, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, semakan mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi di persimpangan masuk dan keluar Jalan Persiaran Jalil Utama, Bukit Jalil ketika empat pegawai polis sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah.

“Semasa kejadian, pihak polis telah menasihatkan kepada pemilik kenderaan untuk mengalihkan kenderaan dan mendaftar aplikasi Volunteer Smart Phone Patrol (VSP) PDRM serta mengambil butiran pemilik kenderaan tersebut untuk tujuan rekod.

“Pihak polis telah mengeluarkan dua keping saman ke atas pemandu dan kenderaan lain kerana menghalang lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham terhadap penugasan polis di lapangan.

“Polis komited memelihara integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan demi keselamatan serta kesejahteraan negara.

“Individu yang mempunyai maklumat lengkap dan sahih boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI