fbpx
(Dari kiri) Surya, Partiben, Muhamad Saifullah dan Chew Sin Yee pada sidang akhbar di Klang.

Tanah jerlus Masjid India: Waris rayu sijil mati, pampasan dipercepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Keluarga mendiang Gali Vijaya Lakshmi yang maut dalam insiden tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur dua tahun lalu menggesa kerajaan supaya mempercepatkan proses pampasan bagi membela nasib waris yang berdepan tekanan kewangan.

Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024 itu, mangsa berusia 48 tahun dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dan operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) ditamatkan sembilan hari kemudian.

Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi yang mewakili keluarga mendiang berkata, status mangsa ketika ini masih diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH) menyebabkan sijil kematiannya belum dapat dikeluarkan.

Katanya, permohonan rasmi dihantar kepada pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 24 Februari lalu bagi membolehkan sijil kematian wanita tersebut dikeluarkan.

“Hanya dengan sijil kematian, tuntutan pampasan boleh diuruskan untuk tindakan lanjut. Selagi status kekal sebagai orang hilang, sebarang pampasan tidak boleh diperoleh,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, setakat ini tiada tindakan mahkamah difailkan kerana pihaknya mahu memberi ruang kepada rundingan dengan kementerian dan agensi berkaitan terlebih dahulu.

“Kami difahamkan ada perbincangan di peringkat Kabinet sebelum ini mengenai pampasan, namun belum ada keputusan rasmi atau jumlah yang ditetapkan. Sekiranya rundingan itu gagal atau tiada penyelesaian munasabah dicapai, tindakan undang-undang akan menjadi pilihan terakhir,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peguam keluarga, M. Partiben berkata, anak tunggal mangsa terpaksa menanggung hutang bank berjumlah RM30,000 yang menuntut pengesahan rasmi kematian bagi tujuan pembatalan pinjaman.

“Selain itu, pinjaman along sehingga RM40,000 turut dibuat mendiang, namun tidak diketahui berapa faedah yang ditetapkan di India. Memang waris sebelum ini memperoleh sumbangan ihsan RM30,000. Namun kita perlu membezakan sumbangan dan pampasan.

“Sumbangan adalah bantuan segera atas dasar kemanusiaan, manakala pampasan melibatkan tanggungjawab undang-undang termasuk kemungkinan kecuaian atau faktor kerosakan geografi,” katanya.

Anak tunggal mangsa, Surya Madhaiha, 27, berkata, ini kali ketujuh dia datang ke negara ini yang menelan kos lebih RM50,000 bagi urusan pampasan sejak tahun 2024.

“Saya merayu pihak berkuasa Malaysia supaya dapat mempercepatkan proses sijil kematian ibu untuk memudahkan urusan pampasan dan hutang di India. Saya harap isu ini dapat menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia dan kementerian berkaitan supaya ada tindakan segera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI