PETALING JAYA – Notis penyelenggaraan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan hari ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pencarum, khususnya ketika ramai menunggu pengumuman dividen tahunan.
Menerusi notis rasmi itu, capaian sistem dalam talian KWSP serta beberapa perkhidmatan kaunter akan mengalami gangguan sementara bermula hari ini hingga 1 Mac bagi tujuan penyelenggaraan sistem.
Antara perkhidmatan ahli yang terlibat ialah Aplikasi KWSP i-Akaun, Portal Web i-Akaun (Ahli) dan Self-Service Terminal (SST) pada hari ini hingga esok.
Selain itu, perkhidmatan lain seperti i-Invest, i-Lindung, i-Akaun (Majikan), i-Akaun (Rakan Niaga), e-Payroll, Pendaftaran i-Saraan dan Pendaftaran i-Suri turut mengalami gangguan dari hari ini hingga 1 Mac 2026.
Operasi Kaunter Bayaran KWSP dan Kaunter Perkhidmatan KWSP pula akan tergendala pada hari ini.
Bagaimanapun, pengumuman itu pantas menjadi topik perbualan hangat dalam media sosial.
“Esok dividen nak umum, hari ni pula sistem tergendala,” tulis seorang pengguna Facebook.
Seorang lagi netizen berkata, “Banyak benda lagi kami nak pantau dalam i-Akaun. Harap jangan lama sangat.”
“Baru nak semak akaun, tiba-tiba keluar notis penyelenggaraan,” komen seorang pengguna di platform X.
Setakat ini, KWSP memaklumkan gangguan tersebut adalah sementara bagi memastikan sistem lebih stabil dan selamat untuk kegunaan pencarum.
Orang ramai dinasihatkan merancang urusan lebih awal serta menunggu pemakluman lanjut selepas tempoh penyelenggaraan tamat.- KOSMO! ONLINE














