IPOH – Seorang lelaki dilaporkan hilang dikhuatiri lemas, manakala seorang lagi diselamatkan pihak bomba dalam kejadian di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Tambun di sini tengah malam tadi.
Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.14 pagi.
Kejadian melibatkan seorang lelaki yang dipercayai lemas, manakala seorang lagi berada di permukaan air selepas dimaklumkan pihak empangan menerusi pemeriksaan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Kerja-kerja penyelamatan dilakukan dengan menggunakan boya yang dibaling kepada mangsa. Mangsa seterusnya dibawa naik ke pelantar pada ketinggian sembilan meter menggunakan tali,” katanya.
Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Ridzuan Zulkarnain, 32, manakala mangsa yang selamat ialah Mohd. Jumadi Abd. Aziz, 34.
Kerja-kerja mencari mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan. Sebuah pusat kawalan bomba didirikan di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














