fbpx
DIUJI dengan masalahan kesihatan, Shamsul tetap mahu bekerja demi menyara anak-anak yang masih kecil.

Saya kena kerja, anak-anak masih kecil – Shamsul Ghau Ghau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Meski diuji dengan masalah kesihatan, pelakon Shamsul Ghau Ghau tetap bersemangat untuk bekerja demi kelangsungan hidup keluarga tercinta.

Pemilik nama sebenar Shamsul Azahar Aliddin, 57, itu tidak menganggap tanggungjawab mencari rezeki sebagai satu bebanan memandangkan anak-anaknya masih kecil.

“Saya akan terima tawaran (lakonan) dan saya akan bekerja.

“Saya ada anak-anak dan keluarga yang perlu disara. Saya kahwin pun sudah lewat, anak-anak pun masih kecil-kecil lagi, jadi saya kena kerja.

“Tak mengapa, sebab apa yang Tuhan bagi ini adalah yang terbaik untuk saya. Jadi saya terima, kalau kata esok ada kerja dan ada rezeki, bila saya dah okey saya akan kerja balik,” katanya kepada Kosmo! Online semasa Majlis Buka Puasa yayasan Nurjiwa, semalam.

Mengulas lanjut keadaan kesihatan terkininya, pelakon filem Sifu & Tongga itu mengakui komplikasi pada bahagian otak memberi impak kepada daya ingatannya buat masa sekarang.

“Saya bukan sakit perut tapi sakit bahagian otak. Ada ‘clot’ dan sekarang dalam proses pemulihan.

“Insya-Allah, peluang untuk sembuh sepenuhnya itu ada. Saya pun ada melakukan ‘brisk walk’ pada bulan puasa ini, kalau tak dapat lima kilometer (km), saya buat dua atau tiga km.

“Cuma sekarang, tengok muka macam kenal tapi nak ingat nama itu kena fikir dulu. Baru-baru ini saya jumpa Azza Elite, saya ingat-ingat lupa. Sama juga bila saya jumpa Noorkhiriah, saya ambil masa nak ingat nama,” katanya lagi.

Tambahnya, kehadiran ke Majlis Iftar Yayasan Nurjiwa merupakan kemunculan pertamanya di khalayak ramai selepas mendapatkan rawatan di hospital.

“Tempoh hari, doktor katakan apa yang jadi terhadap saya, satu kejutan dan saya perlukan tiga bulan untuk lihat perkembangannya. Tapi alhamdulillah, nak kata sihat sangat, tidaklah.

“Selepas berada di hospital selama enam hari, ini adalah kali pertama saya menghadiri acara di luar sebab isteri selalunya tak bagi saya keluar.

“Ke sini pun saya ditemani dua anak. Lagipun Yayasan Nurjiwa memaklumkan mahu memberikan sumbangan pada saya jadi saya datang.

“Malah saya juga ada menziarahi Amyza Aznan ketika anaknya meninggal dunia baru-baru ini tapi saya duduk saja. Isteri saya saja ke kubur, saya tak dapat pergi,” jelasnya.

Semalam, Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin menganjurkan Majlis Iftar Jiwa Prihatin untuk menghargai jasa serta menyantuni golongan penggiat seni dan pengamal media yang sedang berhadapan dengan ujian hidup termasuk masalah kesihatan.

Antara yang turut menerima sumbangan pada malam semalam adalah penggiat seni tanah air seperti Cico, Ayai, Elyana, Asheed, Jalil Hamid, Ann Ways, Dr Sam dan Harun Hashim.

Sebelum ini, Shamsul dilaporkan menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang selepas mengalami pendarahan beku pada bahagian otak.

Maklumat tersebut dikongsikan rakan artis, aktres Sheila Mambo selepas menerima perkhabaran daripada isteri Shamsul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN