PARIS – Juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) terpaksa bermandi peluh sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menyingkirkan seteru domestik, AS Monaco awal pagi tadi.
Pada aksi playoff kedua itu, keputusan seri 2-2 di Parc des Princes sudah memadai buat PSG untuk mara dengan agregat 5-4 untuk menentang sama ada Barcelona atau Chelsea pada pusingan 16 terbaik nanti.
Pengendali PSG, Luis Enrique mengakui masih banyak ruang untuk diperbaiki selepas pasukan itu beraksi di bawah tahap sebenar walaupun menentang Monaco yang bermain dengan 10 pemain.
“Kami mendapat undian paling sukar di fasa liga dan kami sudah biasa bermain perlawanan seperti ini menentang sesiapa sahaja.
“Sudah tentu kami mahu meningkatkan lagi prestasi, tetapi sentiasa ada lawan yang memiliki taktikal bagus untuk menyekat kami.
“Tugasan seterusnya lebih sukar kerana kita akan menentang Chelsea atau Barcelona. Namun, saya percaya pasukan kami sudah sedia (untuk pertahan gelaran UCL),” katanya.
Sementara itu, bintang muda sensasi PSG, Desire Doue mengakui pasukan terpaksa menyerap tekanan pada penghujung permainan selepas Monaco mengikat kedudukan jadi 2-2.
“Apabila mereka menjaringkan gol dan ada satu peluang terakhir, kami rasa tertekan tetapi nasib baik mereka mensia-siakan kesempatan tersebut,” katanya. – AGENSI














