PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, siasatan berkenaan melibatkan seorang individu berpengaruh yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.
“Laporan polis mengenai perkara ini diterima pada 26 Februari dan polis sedang giat melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini. – KOSMO! ONLINE














