PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan meneruskan siasatan lanjut di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) susulan perbuatan tular seorang individu yang memijak al-Quran baru-baru ini.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, siasatan lanjut itu akan diadakan setelah siasatan polis terhadap individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran itu dijalankan.
“Tindakan ini diambil susulan penularan satu kandungan di platform Threads yang dimuat naik menggunakan nama akaun ‘ryandaselva’ yang memaparkan perbuatan memijak al-Quran.
“Kandungan berkenaan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam,” katanya hari ini.
Pada masa sama, MCMC turut mengambil keterangan individu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam bagi melengkapkan siasatan.
“Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai diingatkan agar menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan mengganggu ketenteraman awam, menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara,” katanya.
Sebelum ini kecoh di media sosial apabila seorang pengguna Thread didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan rasa marah dalam kalangan umat Islam.
Individu tersebut yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya memohon maaf kerana memuat naik gambar tersebut. – KOSMO! ONLINE














