KUALA NERUS – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjaya melahirkan kumpulan perintis tekong laut dalam warga tempatan yang merupakan inisiatif kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap nelayan asing.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, seramai 30 nelayan dalam kalangan belia Terengganu berusia bawah 40 tahun berkenaan telah menjalani latihan selama enam bulan di Kuala Terengganu dan Dungun.
“Isu ketiadaan tekong laut dalam tempatan amat serius. Buat masa ini, kita bergantung hampir 100 peratus terhadap orang luar khususnya warga Thailand, Myanmar dan Vietnam.
“Sedangkan di laut dalam itulah banyak (sumber) yang buat masa ini diambil (secara haram) oleh nelayan-nelayan asing khasnya Vietnam,” katanya pada program Sentuhan AgroMadani di sini malam ini.
Mohamad berkata, sebelum ini rata-rata nelayan tempatan terutama bumiputera kurang berkelayakan untuk menjadi tekong laut dalam yang memerlukan kemahiran tinggi dan kesabaran untuk berada di perairan dalam tempoh panjang.
Beliau berkata, program latihan tekong laut dalam tempatan tersebut akan diperluas kepada nelayan-nelayan tempatan lain di seluruh negara selepas ini.
“Kita menyasar untuk melahirkan 100 tekong laut dalam tempatan baharu setiap tahun.
“Selepas kejayaan di Terengganu, program ini akan diperluas ke Pahang, Sarawak dan Selangor tidak lama lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














