PUTRAJAYA – Laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan diserahkan kepada kerajaan pada minggu hadapan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diumumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan siasatan berkaitan perkara itu hampir selesai.
“Jemaah Menteri dimaklumkan jawatankuasa siasatan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Moktar hampir selesai proses siasatan dan akan menyerahkan laporan penuh pada minggu hadapan.
“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan dengan mendalam isu-isu dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu serta dakwaan penyalahgunaan SPRM bagi tujuan manfaat koporat,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Berhubung isu dakwaan salah guna institusi SPRM, Fahmi berkata, laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk didakwa ke muka pengadilan.
Dalam perkembangan sama, katanya, Jemaah Menteri bersetuju isu-isu berkaitan SPRM perlu dipandang serius oleh kerajaan selain mengambil maklum mengenai cadangan penubuhan siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berkenaan.
“Jemaah Menteri akan meneliti terlebih dahulu laporan jawatan kuasa siasatan itu sebelum mempertimbang tindakan susulan termasuk keperluan pelaksanaan siasatan RCI,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan kerajaan sudah mengadakan perbincangan mengenai penubuhan RCI berkenaan. – KOSMO! ONLINE














