ALOR SETAR – Polis sedang menyiasat kemungkinan dua suspek yang melepaskan tembakan ke arah Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir bertindak sebagai pembunuh upahan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya masih menyiasat lanjut perkara itu, namun tidak menolak kemungkinan suspek bertindak dengan niat untuk membunuh.
“Dengan cara tembakan dua kali dari motosikal pada jarak satu meter, satu tembakan terkena pintu belakang dan satu lagi masuk melalui pintu depan yang mana kedua-duanya tersasar, mungkin niat mereka adalah untuk membunuh. Kita tidak boleh nafikan juga,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Katanya, beliau sendiri turun ke lokasi kejadian dan menemubual Mohd. Nasaruddin untuk menyiasat motif sebenar.
“Saya tanya apa yang berlaku dalam tempoh terdekat atau tahun ini dan dimaklumkan ada tangkapan dan rampasan berskala besar. Contohnya dari 15 Januari hingga 15 Februari lepas ada rampasan 100 tan beras, karkas babi dan tangkapan migran bernilai lebih RM1 juta.
“Itu AKPS sahaja, belum termasuk pihak polis. Sudah tentu ia menjejaskan kegiatan haram mereka (sindiket) dengan kerugian besar. Mesti ada rasa tidak puas hati dan kemungkinan motif adalah untuk menakut-nakutkan atau merencatkan tindakan pihak berkuasa,” ujarnya.
Adzli bagaimanapun memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan gentar untuk bertindak lebih tegas terhadap isu jenayah termasuk penyeludupan di sempadan.
Beliau berkata, kawalan sempadan akan diperketatkan menerusi 141 pegawai dan anggota polis di bawah Balai Polis ICQS Bukit Kayu Hitam yang bertugas 24 jam bagi memastikan keselamatan petugas dan bangunan.
“Pelbagai bentuk penugasan digerakkan termasuk rondaan 24 jam dengan senjata lebih berat, rondaan bermotosikal dan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA). Arahan juga sudah dikeluarkan untuk mewajibkan pemakaian jaket kalis peluru,” katanya.
Beliau menegaskan ancaman serangan hanya menyasarkan agensi penguat kuasa dan bukan orang awam. – KOSMO! ONLINE














