PETALING JAYA – “Kenapa lelaki selalu tunggu kita kejut? Apa sumbangan mereka dalam rumah sampai rasa berhak bersikap begitu?.”
Itu antara luahan seorang wanita yang mempersoalkan mengapa hanya perempuan sahaja yang sering ‘ditugaskan’ untuk menghidang makanan dan mengejutkan seluruh ahli keluarga untuk bangun bersahur.
Dia turut bertanya kepada orang ramai, apakah ada penyelesaian bagi memastikan tugas berkenaan dilakukan dengan lebih adil kepada semua pihak.
“Ada tak solusi lain kalau kita perempuan tak nak bangun terlalu awal pagi siapkan sahur dan kejut semua orang untuk bangun sahur?
“Kerja? Perempuan pun kerja,” katanya di media sosial.
Hantarannya itu meraih pelbagai reaksi orang ramai termasuk mereka yang turut menantikan jawapan daripada kaum lelaki.
“Masih tercari-cari jawapan sebenar daripada lelaki-lelaki,” ujar @Sembilu Kasih.
“Meroyan dekat media sosial buat apa? Tegur je la depan mata. Nak sangat dikecam, mendapat lah,” komen @Rasida Ahmad.
“Anggap ja kita buat pahala sis (kakak), kita sediakan makanan untuk sahur dan puasa ganjarannya berlipat kali ganda. Ikhlaskan. Kalau ikutkan, banyak ja isteri-isteri macam sis (kakak) dalam ni,” kata @Ct Catejah. – KOSMO! ONLINE














