TAIPING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas rokok seludup serta beberapa kenderaan mewah menerusi operasi sepanjang Januari lalu dengan nilai rampasan dan duti keseluruhan mencecah RM3.6 juta.
Pemangku Pengarah JKDM Perak, Suzana Sarif berkata, dalam kes pertama pada 2 Januari lalu kira-kira pukul 11.35 pagi, sepasukan anggota dari JKDM Cawangan Penguatkuasaan Taiping telah memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang ditinggalkan di kawasan lapang di Kuala Gula.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan telah menjumpai rokok putih yang disyaki baras berkastam dimuatkan di dalam kenderaan tersebut.
“Rampasan ini melibatkan batang rokok putih dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM9,600 duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM53,760.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan MPV tersebut mengesyaki bahawa kenderaan tersebut dianggarkan sebanyak RM27,000,” katanya pada sidang akhbar di Taiping hari ini.
Menurut Suzana, kenderaan MPV mewah tersebut digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi mengedar barangan tersebut ke pasaran tempatan.
“Kes disiasat di bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama,” katanya yang turut memberitahu siasatan masih lagi berjalan.
Bagi kes kedua pula, beliau berkata, pada 8 Januari lalu kira-kira pukul 11 pagi, sepasukan anggota dari JKDM Cawangan Penguatkuasaan Taiping telah melakukan serbuan di sebuah lokasi di Shah Alam, Selangor.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukan berjaya menjumpai sebuah kenderaan jenis Ferrari F8 Spider yang disyaki telah melanggar syarat di bawah Akta Kastam 1967 dan Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017. Nilai rampasan dianggarkan RM1,146,579 dan duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM2,214,617.34. Kes masih dalam siasatan.
“Modus operandi dipercayai menyalahgunakan kemudahan pengecualian duti yang diberikan di bawah Seksyen 14, Akta Kastam 1967. Kes disiasat di bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama,” katanya.
Mengulas lanjut, Suzana berkata, pada 15 Januari lalu lebih kurang pukul 12.15 tengah hari, sepasukan anggota dan JKDM Cawangan Penguatkuasaan Taiping telah memeriksa sebuah kenderaan jenis Honda Civic FD di Serdang, Kedah.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut mengesyaki bahawa ia adalah barang larangan import di bawah Butiran No. 3(2), Bahagian 1, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM50,000 dan duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM96,575. Kes masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi digunakan ialah kenderaan klon menggunakan nombor pendaftaran Malaysia bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kes disiasat di bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama. – KOSMO! ONLINE














