PETALING JAYA – IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 42 peratus kepada RM2.01 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, daripada RM1.42 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Lonjakan tersebut didorong oleh prestasi kukuh merentasi ketiga-tiga segmen perniagaan terasnya, dengan segmen Pembangunan Hartanah, Pelaburan Hartanah serta Hospitaliti & Riadah masing-masing mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 33 peratus, 39 peratus dan 77 peratus.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat lebih daripada lima kali ganda kepada RM1.6 bilion, terutamanya disebabkan oleh keuntungan nilai saksama ke atas hartanah pelaburan dan pengukuran semula keuntungan di South Beach, Singapura, masing-masing berjumlah RM567.1 juta dan RM502.8 juta.
Tidak termasuk dua perkara ini, PBT asas Kumpulan meningkat sebanyak 87 peratus kepada RM530.6 juta, disokong oleh sumbangan lebih kukuh merentasi semua segmen.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Lee Yeow Seng berkata, pihaknya sukacita mengumumkan prestasi kewangan kukuh, yang menunjukkan kekuatan perniagaan teras IOIPG.
“Sekiranya tiada kejadian tidak dijangka, Kumpulan yakin dengan prestasi untuk tahun kewangan semasa.
“Prospek ini disokong dengan baik oleh tawaran pembangunan kami yang pelbagai di tiga negara (Malaysia, Singapura dan China), perkembangan berterusan dalam segmen perindustrian serta pengaktifan aktiviti pusat data, aliran pendapatan berulang daripada portfolio Pelaburan Hartanah kami yang mantap, tinjauan positif segmen Hospitaliti & Riadah, serta persekitaran kadar faedah yang menggalakkan di Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














