LONDON – Aston Villa dilapor sudah mengemukakan harga yang mereka inginkan selepas tiga kelab Liga Perdana Inggeris sedang bersaing untuk mendapatkan khidmat pemain tonggaknya, Morgan Rogers.
Sejak menyertai Villa dari Middlesbrough pada Februari 2024 dengan nilai £8 juta (RM42.07 juta) nilainya meningkat sehingga £15 juta (RM78.89 juta) setelah berjaya menonjolkan bakatnya sehingga berjaya menyertai skuad kebangsaan England ke Piala Dunia 2026.
Perkembangan itu menyebabkan Villa sedia mengalah sekiranya tidak dapat mempertahankan Rogers untuk terus kekal biarpun pemain itu masih memiliki kontrak sehingga 2031, namun sudah meletakkan tanda harga yang mereka inginkan.
Villa juga terdesak untuk menjual mana-mana pemain mereka pada nilai yang tinggi untuk memastikan mereka mengelak daripada pelanggaran Peraturan Keuntungan dan Keseimbangan (PSR).
Musim ini menyaksikan Rogers berjaya meledak 10 gol dan lima umpanan jaringan menyebabkan kelibatnya menjadi buruan beberapa kelab gergasi termasuk Chelsea, Liverpool dan Manchester United yang mahukan khidmatnya.
Villa dikatakan sedia untuk membenarkan Rogers meninggalkan Villa Park sekiranya ada pasukan yang sanggup mengeluarkan dana sebanyak £80 juta (RM420.75 juga) bagi mendapatkan tandatangannya.
Bagaimanapun, nilai tersebut mungkin akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang bergantung kepada kedudukan Villa pada akhir musim sama ada layak ke saingan Liga Juara-Juara atau tidak serta prestasi Rogers di pentas Piala Dunia nanti. – AGENSI














