SERDANG – Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun 11 bulan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, laporan berhubung kehilangan mangsa dibuat oleh ibunya yang berusia 42 tahun pada hari ini.
“Kanak-kanak berkenaan, Mohammad Adi Syahmi Rashdan, dilaporkan keluar dari rumah kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam untuk ke sekolah, namun sehingga kini masih belum pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang hilang berkulit cerah, bermata sepet, berketinggian 162 sentimeter dan berat kira-kira 60 kilogram.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Yusof Hasan Ganny di talian 03-8076 2222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














