PETALING JAYA – Debaran 16.5 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menantikan pengumuman kadar dividen bagi tahun 2025 bakal terjawab esok.
Rata-rata ahlinya menaruh harapan yang tinggi terhadap pengumuman kadar dividen dana simpanan persaraan tersebut.
KWSP menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan, taklimat dividen itu bakal disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, penganalisis mengunjurkan kadar dividen yang positif untuk tahun 2025, iaitu sekitar enam peratus.
Antaranya Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid yang meramalkan dividen sekitar 5.8 hingga 6.3 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.5 hingga enam peratus bagi Simpanan Syariah, disokong prestasi pelaburan yang kukuh.
“Kalau dilihat berdasarkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, KWSP berada pada landasan terbaik untuk meneruskan pencapaian cemerlang 2024.
“Sebagai perbandingan, pendapatan dividen KWSP bagi tempoh tersebut meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun 2024 disebabkan pencapaian suku ketiga yang baik,” katanya.
Dividen KWSP bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah untuk tahun 2024 adalah sebanyak 6.3 peratus, iaitu kadar tertinggi sejak 2017.
Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE














