fbpx
Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Jawi pantau masjid, nafi dakwaan jemaah Masjid At-Taqwa diboikot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menegaskan pihaknya sentiasa memantau operasi semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sepanjang Ramadan bagi memastikan setiap aktiviti berjalan lancar serta memberi manfaat kepada umat Islam.

Menurut Jawi, pemantauan itu meliputi pengurusan majlis berbuka puasa, solat tarawih dan pelaksanaan program kebajikan yang dianjurkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Penjelasan itu dibuat susulan satu hantaran di media sosial yang mendakwa Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur diboikot jemaah sehingga menyebabkan kehadiran rendah ketika berbuka pada 22 Februari lalu.
“Semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan melaksanakan inisiatif penyediaan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan. Bagaimanapun, memandangkan waktu berbuka agak lewat, biasanya jemaah hanya mula memenuhi masjid pukul 7 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Jawi, situasi tersebut bukan sahaja berlaku di Masjid At-Taqwa, malah hampir semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Jawi memaklumkan pelaksanaan Program Iftar Rahmah Madani (IRM) di 70 masjid dan surau terpilih sepanjang Ramadan ini merupakan sebahagian usaha untuk memperkukuh agenda kebajikan.

Program itu menyasarkan 300 penerima setiap hari bagi setiap masjid dan surau terlibat menjadikan 21,000 pek makanan percuma diagihkan setiap hari dan 630,000 pek sepanjang Ramadan. Penerima terdiri daripada golongan asnaf, kumpulan B40 dan individu memerlukan di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, sebanyak 12 masjid di bawah seliaan Jawi turut menyediakan perkhidmatan jagaan kanak-kanak atau ruang bermain semasa solat tarawih bagi memberi peluang kepada ibu bapa menunaikan ibadah secara berjemaah dengan lebih selesa.

“Jawi komited memperkasakan agenda kebajikan umat Islam dan akan terus memastikan pengurusan masjid serta surau di Wilayah Persekutuan berada pada tahap terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN