NILAI – Lelaki warga emas dikenali sebagai ‘Ayang’ yang sebelum ini didakwa atas lima pertuduhan berkaitan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Nilai pada Disember tahun lalu, meninggal dunia sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, Yeoh Hock Sun, 63, meninggal dunia pada pukul 8.30 malam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kematiannya dimaklumkan oleh anggota pengiring Penjara Kajang.
“Punca kematian dikenal pasti akibat ‘refretory shock’ iaitu keadaan renjatan (shock) yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard sudah diberikan secara optimum,” katanya ketika dihubungi.
Pada 9 Januari lalu, tertuduh didakwa atas lima pertuduhan berkaitan IED sendiri di Nilai, Disember tahun lalu, namun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan.
Tertuduh terpaksa didakwa di Hospital Tuanku Jaafar di sini kerana sedang dirawat akibat kecederaan dialami dalam letupan yang berlaku.
Sebelum ini, Kosmo! pada 27 Disember lalu melaporkan ‘Ayang’ dalang utama pembuatan puluhan IED susulan kejadian letupan di Desa Palma, Nilai dan di kawasan Batang Benar, Nilai. – KOSMO! ONLINE














