PUTRAJAYA – Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap keberanian dan pengorbanan tujuh pemuda yang berjaya menyelamatkan seorang ibu dan dua anaknya yang nyaris lemas di Tasik Biru, Kundang di Rawang, Selangor baru-baru ini.
Penghargaan itu dizahirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media dan Pempengaruh di Kompleks Seri Perdana di sini sebentar tadi.
Mereka ialah Mohd. Shahrizal Jarami, 40, Mohamad Fahmi Ismail, 33, Adam Syah Reza Hendri, 19, Mohamad Zulfadhli Mohd. Nasir, 23, Muhammad Aiman Hakimi Mohd. Rosnizam dan Muhammad Nor Haiqal Abd. Karim masing-masing 23 tahun serta Hariz Ismat Ruzaiizan, 26.
Dalam majlis sama, Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada tujuh pemuda tersebut sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kerajaan terhadap jasa mereka.
Beliau turut meluangkan masa selama 15 minit bersama kumpulan pemuda tersebut bagi mendengar sendiri pengalaman dan detik cemas yang dilalui semasa kejadian tersebut.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan jeritan dan tangisan mangsa yang terperangkap dalam kereta terjunam ke dalam Tasik Biru mendorong sekumpulan pemuda bertindak pantas terjun untuk menyelamatkan mangsa.
Dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu, wanita berusia lingkungan 40-an bersama dua anak perempuan berusia tiga dan enam tahun berjaya diselamatkan sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














