BALIK PULAU – Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, minggu lalu.
Fahmi, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Nur Hidayah Abd. Jabar, 35, di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas, pada pukul 10 malam, 22 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Pendakwan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Nazran Mohd. Sham bersama dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, iaitu Ikmal Affendi Zulkifly dan Lim Jin Hong. Fahmi pula diwakili peguam Dr. Shamsher Singh Thind.
Terdahulu, Nazran mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 ke atas Fahmi dengan seorang penjamin, namun peguam Shamsher merayu supaya jumlah tersebut dikurangkan.
“Anak guam saya memberi kerjasama yang baik kepada polis termasuk hadir apabila diarahkan, selain melantik peguam bagi mewakili dirinya. Oleh itu, saya mencadangkan agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM1,000 dengan seorang penjamin,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes tersebut.
Terdahulu, Fahmi tiba di mahkamah kira-kira pukul 11.24 pagi dengan menaiki kenderaan polis. Lelaki itu memakai pelitup mulut dan hanya ditemani peguamnya serta seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE














