LANGKAWI – Pasukan Polis Marin (PPM) mendedahkan anggota sindiket penyeludupan memilih waktu sahur dan berbuka untuk melakukan jenayah tersebut.
Komander PPM Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, pihaknya bagaimanapun akan kekal berwaspada dengan taktik tersebut bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjaga.
“Sebanyak 18 aset PPM Langkawi digerakkan sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri nanti bagi mengekang aktiviti jenayah di lautan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan di laut (RV) bersama Polis Marin Diraja Thailand di sini.
Beliau berkata, PPM merekodkan rampasan lebih RM10.34 juta melibatkan 624 kes jenayah melibatkan dadah, rokok seludup, barang kawalan, vesel serta barangan lain yang menyalahi undang-undang sepanjang tahun lalu.
“Kejayaan itu termasuk tangkapan kes penyeludupan rentas sempadan dan rampasan barang kawalan yang cuba diseludup masuk atau keluar dari negara ini,” katanya.
Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung di perairan Ko Pratmana (Pulau Brasmana), Thailand itu turut membincangkan kerjasama dua negara dalam usaha membanteras kegiatan jenayah rentas negara dengan memperkukuh jaringan perkongsian maklumat antara kedua-dua agensi tersebut.- KOSMO! ONLINE














