SEREMBAN – Seorang wanita warga emas maut selepas motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sungai Ujong berhampiran stesen minyak Petron Palm Mall, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun yang membonceng motosikal jenis Honda C100 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggang lelaki berusia 65 tahun bersama isterinya dan sebuah Proton Exora dipandu wanita berumur 22 tahun.
Menurutnya, ketika kejadian, Proton Exora dipandu dari arah Jelebu menghala ke Seremban 2 Heights, manakala motosikal terbabit dari arah Templer menuju ke Oakland, Seremban 2.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan di hadapan dilaporkan bergerak perlahan akibat kesesakan. Pemandu Proton Exora yang berada di lorong kiri dipercayai mengalami masalah brek sebelum mengelak ke kiri dan memasuki lorong kecemasan.
“Bagaimanapun, kenderaan itu kemudian melanggar bahagian belakang motosikal yang berada di lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi hariini.-KOSMO! ONLINE














